Oleh: Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman
Permainan dan peraduan moden Ada ulama cuba menganggap permainan atau pertandingan beserta hadiah sebagai ‘Wa’d Bi Tabarru’ atau janji untuk bersedekah, namun majoriti ulama tidak bersetuju dengan pandangan ini dan mengklasifikasinya sebagai aqad mu’awadat atau kontrak komersial untuk meraih pemilikan dan untung. (Al-Furusiah, Ibn Qayyim, hlm76)
Dengan berubahnya klasifikasi ini, semua hukum akan berubah bentuknya. Saya akan menyentuh dengan ringkas beberapa jenis cara pemainan yang boleh dijumpai dalam masyarakat kita. Ia seperti berikut:
1. Dua orang bermain tenis, namun hanya satu pihak meletakkan hadiah sebanyak RM200. Siapa yang menang akan memiliki hadiah itu.Hukum: Ulama berbeza pandangan dalam bab ini kerana hanya satu pihak mengeluarkan hadiah.
Fatwa ulama seperti berikut:
a. Harus: Demikian pendapat majoriti ulama dari mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.
b. Haram: Ia pendapat mazhab Maliki kerana wang RM200 sudah keluar daripada miliknya. Jika dia menang, wang itu akan kembali kepadanya atas nama ‘qimar’.
Pendapat lebih kuat (rajih) adalah pendapat pertama yang mengharuskannya kerana wang RM200 itu miliknya dan pihak kedua tidak terbabit dalam memberi wang, dengan sebab itu pihak kedua tidak terdedah kepada risiko. Dengan demikian, wang RM200 tadi dikira hadiah biasa dan bukan judi.
2. Dua orang bermain tenis, kedua-duanya mengeluarkan wang sebagai hadiah. Ulama terbahagi kepada tiga kumpulan dalam hal ini. Namun majoriti ulama, termasuk Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali serta Majlis Fiqh Dunia memfatwakannya HARAM.
Malah, Ibn Rusyd Al-Hafid menyebut ada ijma’ mengenai pengharamannya. (Tabyin Al-Haqaiq, Az-Zaila’ie, 6/228; Al-Kafi, Ibn Abd Barr, 1/489; Al-Umm, Al-Syafie, 3/230; Al-Insaf, Al-Mardawi, 6/93; Al-Jami’, Ibn Rusyd, hlm 336)
3. Dua orang bermain tenis, mereka bersetuju siapa yang kalah perlu membayar harga sewaan gelanggang tenis.
Hukum: Ia judi, walaupun ada unsur usaha daripada kedua-dua pihak dan bukan permainan nasib semata-mata. Unsur judinya datang daripada sudut hadiah. Seolah-olah kedua-dua pihak meletakkan sejumlah wang untuk membayar sewa gelanggang, hanya yang kalah akan terkena. Ia tetap judi, walaupun kedua-dua pihak meredainya. Tiada reda dalam perihal haram.
Namun jika hanya seorang menjanjikan hadiah, seorang lagi tidak, hukumnya berubah menjadi harus atau halal. Ia pendapat mazhab Al-Hanafi, Syafie dan Hanbali (Tabyin Al-Haqaiq, Az-Zaila’ie, 6/227; Qawanin Al-Ahkam, Ibn Juzai, hlm 177; Hasyiah Al-Qalyubi, 4/266; Al-Insaf, Al-Mardawi, 6/93)
4. Dua orang atau lebih bertanding futsal, kumpulan yang kalah disyaratkan belanja makan kumpulan yang menang.
Hukum: Ia juga perjudian dan sama bentuknya dengan bentuk nombor tiga di atas.
5. Beberapa kumpulan ingin menganjur pertandingan bola sepak, namun tiada sumbangan hadiah dan tiada tajaan diperoleh. Natijahnya mereka menggunakan wang terkumpul daripada yuran penyertaan sebagai hadiah atau untuk membeli hadiah.
Hukum: Ia judi, walaupun bola sepak bukan permainan yang bergantung kepada nasib semata-mata. Unsur judi datang daripada bahagian kedua iaitu hadiah wang terkumpul daripada semua peserta. Ini menjadikan semua kumpulan terdedah kepada untung dan rugi.
Tatkala itu Majlis Fiqh Dunia menganggapnya perjudian. Demikian juga jika ditinjau daripada perspektif empat mazhab. Namun jika hadiah datang daripada sumbangan mana-mana pihak yang tidak menyertai pertandingan itu, permainan tadi menjadi halal secara sepakat ulama. Ada yang bertanya, bagaimana jika semua kumpulan diberi hadiah sagu hati? Jawapannya, ia tetap judi jika pemenang utama mendapat hadiah yang berbeza nilainya. Namun jika semua hadiah sama nilainya tanpa kira yang menang dan tewas, ia menjadi harus dan bukan lagi judi. Dalam hal ini, pemenang hanya mendapat keseronokan dan kepuasan perasaan.
Ringkasnya, ulama sepakat setiap permainan yang memerlukan penyertaan yuran untuk bermain dan hadiahnya diambil daripada wang itu, semuanya judi tanpa mengira sama ada permainan itu bersifat ilmiah, minda dan lain-lain.
6. Membeli akhbar untuk menyertai pertandingan teka bola dan sebagainya.
Hukum: Majlis Fatwa ulama Mekah dan Madinah memfatwakannya sebagai harus. Demikian juga pandangan terkuat menurut beberapa ulama kontemporari seperti Prof Dr Uthman Syabir. (Ahkam Al-Musabaqat Al-Mu’asiroh, Majma Fiqh Islami, Ke 14, tahun 2003)
Keharusan ini kerana si pembeli tidak rugi apa-apa kerana ia beroleh manfaat serta khabar, kecuali jika dibelinya surat khabar sehingga 10 naskhah hanya kerana ingin menyertainya banyak-banyak. Tatkala itu hukum bertukar menjadi haram dan judi.Kesimpulannya, hadiah pertandingan yang dibenarkan dalam Islam hanya jika:1. Hadiah didermakan pihak ketiga yang tidak memasuki pertandingan manakala wang yuran peserta hanya untuk kegunaan pentadbiran pertandingan.2. Hadiah diambil daripada sebahagian yuran peserta saja, manakala yang lain digunakan untuk pentadbiran pertandingan.
Semoga artikel ringkas ini dapat menyedarkan umat Islam di sekeliling akan pembabitan mereka dalam perjudian tanpa disangka
Tuesday, November 23, 2010
sukan dan judi
Posted by MUHIBBIN at 5:54 PM 0 comments
Monday, November 8, 2010
MAJLIS TAHLIL...

OLEH:Mufti Brunei
Pada kebiasaannya, apabila ada kematian, majlis tahlil atau kenduri arwah akan diadakan oleh keluarga orang yang telah meninggal dunia. Keluarga tersebut menjemput orang-orang hadir yang terdiri daripada keluarga, sanak saudara dan sahabat handai ke rumah si mati bagi membacakan ayat-ayat Al-Qur‘an seperti surah Yasin, bertahlil dan sebagainya untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Selepas acara tersebut semua tetamu yang hadir dijemput untuk menikmati jamuan yang telah disediakan oleh tuan rumah. Apakah amalan sedemikian sesuai dengan kehendak hukum syarak?
Sebagaimana yang kita ketahui, agama Islam sangat menggalakkan berbuat kebajikan seperti bersedakah, memberi makan dengan mengundang orang ke rumah dengan tujuan silaturahim, membaca ayat-ayat Al-Qur‘an dan berdoa beramai-ramai memohon rahmat bagi si mati dan sebagainya. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya :
Tafsirnya: “ Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu , tentulah kamu akan mendapat balasannya di sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya”.
(Surah Al-Muzzammil: 20)
Menurut Ibnu Hajar, adalah sunat bagi jiran si mati sekalipun bukan berasal dari negerinya atau bukan ahli keluarga si mati menyediakan makanan yang boleh mengenyangkan ahli keluarga si mati pada hari tersebut hingga ke malamnya. Begitu juga sunat bagi keluarga si mati yang jauh berbuat demikian kerana ahli si mati ketika itu diselubungi oleh kesedihan di atas kematian tersebut. (Hawasyi Al-Syarwani dan Ibnu Qasim (Al-Tuhfah) : 3/207)
Jika dilihat kepada kebiasaan kenapa majlis kenduri arwah itu diadakan, ialah bertujuan untuk memohon rahmat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi si mati dengan mengajak dan membawa orang ramai khususnya sanak saudara supaya berdoa untuk si mati supaya si mati mendapat rahmat daripada doa tersebut; selain itu ia mengeratkan lagi hubungan persaudaraan (silaturahim) di kalangan sanak saudara dan kerabat serta jiran. Maka dari sudut ini mengadakan majlis kenduri arwah itu adalah suatu perbuatan yang baik dan digalakkan oleh Islam.
Walau bagaimanapun, supaya tujuan kenduri tersebut selaras dengan kehendak agama, janganlah ia dianggap bahawa ia dibuat sebagai suatu perkara hak bagi si mati yang mesti ditunaikan oleh keluarganya. Begitu juga jamuan itu jangan dianggap sebagai suatu perkara agama yang di syari‘atkan.
Jelasnya, mengadakan kenduri arwah dan membuat jamuan itu jika tujuannya untuk membalas budi baik kepada orang dan jiran kepada si mati serta menghubungkan silaturahim tidaklah menjadi kesalahan dalam agama. Yang lebih elok dan sunat pula, apabila kaum kerabat dan jiran menghantar makanan kepada ahli si mati sebagai tanda simpati untuk meringankan beban mereka kerana ahli si mati ketika itu dalam keadaan sibuk menguruskan perkara-perkara si mati. Inilah yang sebenarnya wajar dilakukan oleh orang Islam dalam usaha meringankan bebanan keluarga si mati dan di antara cara menghiburkan mereka. Inilah juga perkara yang disuruh oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika sampai kepada Baginda berita kematian Ja‘afar bin Abi Talib, Baginda bersabda :
Maksudnya: “Buatkanlah makanan oleh kamu untuk ahli keluarga Ja‘afar yang telah meninggal, (kerana) telah datang kepada mereka perkara yang membuat mereka sibuk (disebabkan ditimpa kematian itu)”.
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Berdasarkan hadis di atas adalah jelas bahawa menyediakan makanan oleh jiran atau keluarga sama adatau yang jauh kepada ahli keluarga si mati adalah perbuatan yang terpuji kerana berbuat begitu menzahirkan perasaan simpati, kasih sayang, silaturahim dan mengambil perhatian terhadap keluarga si mati. Di samping itu juga dianggap sebagai meringankan beban dan menghiburkan keluarga yang ditimpa kesedihan.
Di negara kita, timbul pula budaya baru dalam usaha meringankan beban dan menghiburkan keluarga yang ditimpa kematian itu. Namun caranya bukan dengan menghantarkan makanan, tetapi dalam bentuk yang lain iaitu memberikan sampul-sampul surat sambil menziarahi keluarga dan mayat. Sampul-sampul itu berisi wang yang berbeza-beza jumlahnya untuk diberikan kepada keluarga si mati, sebagai tanda simpati. Yang lebih menarik lagi, ianya bukanlah terhad dilakukan oleh kaum kerabat dan jiran-jiran sahaja, malahan juga rakan taulan dan siapa sahaja, dengan tidak mengira jauh ataupun dekat. Budaya seumpama ini sesuai dengan kehendak sunnah seperti di atas yang wajar kita amalkan dan kekalkan.
Posted by MUHIBBIN at 5:52 PM 0 comments
Sunday, July 11, 2010
Berpuasa di Bulan Rejab
oleh IbnuNafis
Berpuasa di Bulan Rejab
Imam al-Nawawi (rahimahullah) menyebut:
“Tiada larangan dan tiada juga galakkan berhubung dengan bulan Rejab itu sendiri,
walaubagaimanapun:
• berasaskan bahawa pada prinsipnya berpuasa itu sendiri merupakan suatu amalan yang dipuji, dan
• di dalam Sunan Abu Dawud, Rasulullah telah menggalakkan berpuasa di bulan-bulan Haram, dan bulan Rejab adalah salah satu dari bulan-bulan Haram.
Hadith Berhubung dengan berpuasa di bulan Rejab
[1]
`Uthman ibn Hakim al-Ansari berkata: "Aku bertanya Said ibn Jubair berhubung dengan berpuasa di bulan Rejab, dan kami sedang berada di bulan Rejab, dan beliau berkara: “Akumendengar Ibn ‘Abbas berkata: “Rasulullah pernah berpuasa berterusan sehingga kami menyangka bahawa beliau tidak akan berbuka samasekali, dan beliau juga [ada ketikanya] tidak berpuasa berterusan sehingga kami menyangka bahawa beliau tidak berpuasa samasekali.”
.[Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Dawud dalam Kitab al-sawm, dalam bab berpuasa di bulan selain dari bulan Ramadhan, dan berpuasa di bulan Rejab].
Imam Nawawi seterusnya berkata bahawa:
"Berdasarkan hadith Said ibn Jubair dari Ibn `Abbas itu bolehlah dibuat kesimpulan bahawa berpuasa di bulan Rejab itu sendiri tidaklah dilarang dan tidaklah juga digalakkan secara khususnya, namun, ianya tertakluk kepada kaedah sepertimana berpuasa di bulan-bulan lain. Tiada dalil khusus yang mensabitkan secara nyata bahawa berpuasa di bulan Rejab itu dilarang mahupun digalakkan, namun berdasarkan prinsip bahawa berpuasa itu sendiri merupakan amalan perbuatan yang digalakkan dan di dalam Sunan Abu Dawud (*) menyebut bahawa Rasulullah telah menjadikan berpuasa di bulan-bulan Haram adalah amalan terpuji, maka bulan Rejab yang merupakan salah satu dari bulan-bulan Haram, berpuasa di bulannya turut digalakkan. Wallahu alam.”
[Imam Nawawi, Sharh Sahih Muslim Kitab 13 Bab 34 #179]
(*) Di dalam Sunan Abu Dawud pada Kitab al-Siyam, pada Bab “Berpuasa di bulan-bulan Haram”, juga di dalam Ibn Majah dan Ahmad, di mana hadith seorang lelaki yang mengulangi kata-katanya kepada Rasulullah :
"Aku boleh menanggung lebih dari itu," dan Rasulullah akhirnya bersabda: "Berpuasalah di bulan-bulan Haram."
Ianya juga sabit bahawa Ibn `Umar berpuasa di bulan-bulan Haram. [lihat Musannaf `Abd al-Razzaq 4:293, Musannaf Ibn Abi Shayba 1:125]
[2] Abdullah, seorang hamba yang dibebaskan oleh Asma’, anak perempuan kepada Saidina Abu Bakar al-Siddiq, merupakan bapa saudara kepada anak ‘Ata melaporkan bahawa "Asma' telah mengutusku kepada Abdullah ibn `Umar dan berkata: "Telah sampai kepadaku bahawa kau mengharamkan tiga perkara: jubah berjalur, kain pelana diperbuat dari sutera merah dan berpuasa penuh di bulan Rejab.” Abdullah menjawab: "Adapun berhubung dengan berpuasa di bulan Rejab, bagaimana pula kiranya seseorang itu berpuasa sepanjang waktu? Adapun berhubung dengan pakaian berjalur, aku mendengar `Umar ibn al-Khattab berkara bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang memakai pakaian diperbuat dari sutera, tiada baginya saham buatnya di Hari Akhirat kelak." Dan aku khuatir jalur juga termasuk sebahagian darinya.
Adapun berhubung dengan kain pelana merah, nah! ini adalah kain pelana Abdullah dan ianya adalah merah. Aku kembali kepada Asma’ dan memaklumkan kepada beliau, lalu beliau berkata: "Nah! Ini adalah jubah Rasulullah ," dan beliau keluarkan dan tunjukkan kepadaku jubah yang diperbuat dari kain Parsi dengan dihiasi dari jalur-jalur sutera, dengan bahagian hujung tangan jubah itu juga dihiasi sutera dan berkata: "Ini adalah jubah Rasululah bersama `A'ishah sehingga beliau (Aishah) meninggal dunia, kemudiannya aku memilikinya. Rasulullah pernah memakainya dan kami membasuhnya kepada orang sakit supaya mereka dapat disembuhkan dengan sebabnya."
[Diriwayatkan oleh Muslim dalam Kitab al-Libas]
Imam Nawawi seterusnya berkata:
"`Jawapan Ibn Umar di atas berhubung dengan berpuasa di bulan Rejab itu adalah merupakan penafian beliau terhadap apa yang didengari oleh Asma’ kononnya beliau mengharamkannya, dan penegasan beliau bahawa beliau berpuasa penuh di bulan Rejab dan juga berpuasa sepanjang waktu, kecuali pada Hari Raya dan Tashriq. Ini adalah mazhab beliau dan mazhab bapanya, Saidina`Umar ibn al-Khattab, `A'isyah, Abu Talhah, dan lain-lain di kalangan Salaf, begitu juga Imam Shafi`e dan lain-lain. Pendirian mereka ialah puasa secara berterusan itu bukan sesuatu yang makruh.
[Pandangan lain Ibn ‘Umar melalui hadith diriwayatkan Ahmad di dalam kitabnya "al-Mughni" 3:167, di mana beliau tidak menggalakkan berpuasa sepenuhnya di bulan Rejab, tetapi berkata:
“Berpuasalah sebahagiannya, dan berbukalah sebahagiannya.”
* * * * *
Imam Nawawi seterusnya menambah:
"Hadith ini adalah dalil bahawa digalakkan mengambil berkat dari barang peninggalan dan pakaian para solehin. (wa fi hadha al-hadith dalil `ala istihbab al-tabarruk bi āthār al-salihīn wa thiyābihim)."
[Sharh sahih Muslim Kitab 37 Bab 2 #10]
[3] Bayhaqi meriwayatkan dalam Shu`ab al-iman (#3802):
Abu Abdallah al-Hafiz dan Abu Muhammad ibn Abi Hamid al-Muqri telah berkata:
dari Abu al-`Abbas al-Asamm, dari Ibrahim ibn Sulayman al-Barlisi, dari Abdallah ibn Yusuf,
dari`Amer ibn Shibl, yang berkata: "Aku mendengar Abu Qilabah berkata:
"Di sana ada suatu tempat di Syurga untuk mereka yang berpuasa di bulan Rejab.”
Imam Bayhaqi seterusnya menambah:
"Walaupun ianya mawquf setakat Abu Qilabah (tidak sampai kepada Rasulullah), yang merupakan salah seorang Tabi’in, dia sesungguhnyya tidak mengucapkan sedemikian itu melainkan pernah mendengarnya dari orang yang pernah mendengar orang yang diturunkan kepadanya wahyu (iaitu Rasulullah ), dan kejayaan itu adalah dari Allah jua."
Selawat dan Salam buat Junjungan Rasulullah , kaum keluarga Baginda dan para Sahabat Baginda.
"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"
Posted by MUHIBBIN at 6:14 AM 0 comments
Saturday, April 10, 2010
PERGINYA SEORANG PERMATA...

Pada tanggal 19 Rabi`ul akhir 1431 hijriyah bertepatan tanggal 4 April 2010 masehi telah di beritakan tentang pemergian seorang ulamak yang terkenal AL HABIB ABDUL QADIR AS SAGAAF.Bagi mengenali ulamak ini saya naqalkan biodata beliau.
Nama lengkap beliau adalah : al-Imam al-Qudwah al-`Arif billah al-Uswah al `Amil al-Musnid al-Faqih as-Syeikh al-Habib Abdul Qadir bin Ahmad bin Abdurrahman bin Ali as-Saqaaf al-Ba`lawi al-Huseini al-Hadrami Syafi`i al-Asy`ari.
Beliau di lahirkan pada tahun 1331 hijriyah.
Beliau dibesarkan dari masyarakat yang kuat beragama, dipelihara oleh kedua orang tua yang soleh, ayahnya seorang ulama yang terkenal sehingga sangat memperhatikan pertumbuhan dan pendidikkan anaknya, dari kecil beliau telah dididik untuk rajin belajar menuntut ilmu agama, penyebab inilah yang mendorong beliau menjadi orang yang berhasil dan berilmu tinggi, beliau telah membaca dan belajar dari ayahnya lebih dari enam ratus kitab, waktunya hanya dihabiskan untuk belajar dan membaca kitab-kitab, sangat wajar jika beliau dapat mengungguli teman-temannya.
Diantara guru-guru beliau adalah :
1 - Syeikh al-Habib Ahmad bin Abdurrahman bin Ali as-Saqaaf ( ayahanda beliau )
2 -Syeikh al-Habib Ali bin Muhammad bin Husein al-Habsyi.
3 - Syeikh Ahmad bin Hasan al-`Atthas .
4 - Syeikh Habib Muhammad bin Hasan `Aidid.
5 - Syeikh Habib Ahmad bin Musa al-Habsyi.
6 - Syeikh Habin Muhammad bin Hadi Saqaf.
7 - Syeikh habib Muhammad bin Salim as-Siri.
8 - Syeikh Abdullah bin `Aidrus al-`Aidrus.
9 - Syeikh Abdul Baari bin Syikh al-`Aidrus.
10 - Syeikh Abdullah bin Umar as-Syathiri.
Dan lain-lain.
Setelah menimba ilmu sebanyak-banyaknya, mulailah beliau mengajarkan ilmunya kepada umat islam, banyak diantara pelajar yang berbondong-bondong mendatangi beliau untuk belajar ilmu agama, nama beliau menjadi terkenal diantara ulama-ulama, terlebih lagi sifat dan perwatakkan beliau yang menarik perhatian para pelajar ilmu agama, membuat mereka merasa merugi jika tidak belajar dan mengambil ilmu darinya.
Diantara murid-murid beliau adalah :
1 - Syeikh Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki.
2 - Syeikh Habib Zein bin Ibrahim bin Sumith.
3 - Syeikh Habib Salim bin Abdullah as-Syathiri.
4 - Syeikh Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiizh .
5 - Syeikh Habib Ali Zainal Abidin al-Jufri.
6 - Syeikh Sayyid Nabil Hasyim Aali Ba`lawi alGhamri.
7 - Syeikh Abu Bakar Badzib al-Yamani.
8 - Syeikh Sayyid Ibrahim bin Abdullah al- Ahsa`i .
9 - Syeikh Husein bin Muammad Hadi Saqaf.
10 - Syeikh Sayyid Muhammad Jad Badaruddin al-Masri.
11 - Syeikh Muhammad Nabih bin Najib bin Ahmad Salim al-Halabi.
12 - Syeikh Majdi Makki al-Halabi.
Dan lain-lain.
Beliau meninggal dunia pada tanggal 19 Rabi`ul akhir 1431 hijriyah bertepatan tanggal 4 April 2010 masehi.Semoga kerahmatan Allah sentiasa bersamanya dan keberkatanya dapat dirasai oleh kita semua...Amin
Posted by MUHIBBIN at 9:44 PM 0 comments
Thursday, March 4, 2010
DALIL SAMBUTAN MAULIDUR RASUL
oleh IbnuNafis
1. Dalil-dalil umum dari Al Quran yang dijadikan hujjah oleh Ulamak yang membenarkan :
فَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِهِۦ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَٱتَّبَعُواْ ٱلنُّورَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ مَعَهُ ۥۤۙ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (١٥٧)
Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al A’raf 157)
Di dalam ayat ini dengan tegas menyatakan bahawa orang yang memuliakan RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam adalah orang yang beruntung. Merayakan maulid Nabi termasuk dalam rangka memuliakannya.
ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَيۡتُمُ ٱلزَّڪَوٰةَ وَءَامَنتُم بِرُسُلِى وَعَزَّرۡتُمُوهُمۡ وَأَقۡرَضۡتُمُ ٱللَّهَ قَرۡضًا حَسَنً۬ا لَّأُڪَفِّرَنَّ عَنكُمۡ سَيِّـَٔاتِكُمۡ وَلَأُدۡخِلَنَّڪُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ
ۚBahawa Aku adalah berserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanKu) dan kamu muliakan mereka dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.
Erti “azzartumuhum” ialah “memuliakan mereka” (Tafsir Tabari, juz VI halaman 151)
Orang yang memuliakan Nabi akan dimasukkan ke dalam syurga. Dan menyambut Maulid Nabi adalah dalam rangka memuliakan Nabi.2. Saya ingin menyemaikan perasaan cinta kepada RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam. Di kala ramai orang yang kini semakin jauh dari perasaan cinta kepada baginda. Bukankah rasuluLlah bersabda begini :
"Belum sempurna iman seseorang dari kamu. kecuali aku lebih dikasihinya berbanding dengan keluarganya, dan hartanya dan manusia keseluruhannya." (Riwayat Muslim juz 11, hlm 15)
Ahh.. bukankah kita sendiri meraikan ulang tahun kelahiran sendiri ? Ibu dan ayah. Bahkan ada pula golongan yang meraikan kelahiran ‘mujaddid’ mereka sendiri ? Jika kita sendiri pun menyambut hari ulang tahun perkahwinan, hari lahir diri dan juga orang lain. Mengapa kita tidak menyambut hari kelahiran manusia agung yang pengutusannya ke muka bumi ini memberi rahmat kepada sekalian alam ?Saidina Umar radiyaLlahu ‘anhu berkata kepada Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam :
“Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri”. Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam berkata : “Tidak, wahai Umar. Sampai aku lebih kamu cintai daripada dirimu sendiri.”
Saidina Umar radiyaLlahu ‘anhu berkata, “Demi Allah subahanahu wa ta’ala, engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam berkata, “Sekarang wahai Umar.”(Hadith Riwayat Bukhari, Sohih Bukhari, vol 6 hlmn 2445)3.
Maulidul Rasul itu tidak pernah dibuat oleh RasuluLLah dan ia bid'ah sesat ?
Ada dalil umum bagaimana RasuluLlah sendiri pernah menyebut mengenai hari-hari kebesaran contohnya :
Bahawasanya Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam datang ke Madinah, maka Baginda sallaLLahu ‘alaihi wasallam mendapati di situ orang-orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyura iaitu hari 10 Muharram, maka Nabi bertanya kepada orang Yahudi itu: Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura ?Jawab mereka : ini adalah hari peringatan, pada hari serupa itu dikaramkan Fir’aun dan pada hari itu Musa dibebaskan, kami puasa kerana bersyukur kepada Tuhan. Maka RasuluLlah bersabda : Kami lebih patut menghormati Musa dibanding kamu” (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Imam Jalaluddin al Suyuthi dalam bukunya ‘Husnul Maqshid fi Amalil Maulid’ memberikan penjelasan tentang Maulid Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam :
Menurutku, bahawa hukum dasar kegiatan maulid yang berupa berkumpulnya orang-orang yang banyak, membaca beberapa ayat-ayat al Quran, menyampaikan khabar-khabar yang diriwayatkan tentang awal perjalanan hidup Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam dan tanda-tanda kebesaran yang terjadi pada waktu kelahiran Baginda, kemudian dihidangkan makanan untuk mereka dan mereka pun makan bersama, lalu mereka pun berangkat pulang, tanpa ada tambahan kegiatan lain. Adalah termasuk bid’ah hasanah dan diberikan pahala bagi orang yang melakukannya. Imam para hafizh Abu Fadhl Ibnu Hajar telah menjelaskan dasar hukumnya sunnah.Imam Abu Syamah berkata :
Suatu hal yang baik ialah apa yang dibuat pada tiap-tiap tahun bersetuju dengan hari maulud Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam memberi sedekah, membuat kebajikan, maka hal itu selain berbuat baik bagi fakir miskin, juga mengingatkan kita untuk mengasihi junjungan kita Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam membesarkan beliau, dan syukur kepada Tuhan atas kurniaanNya, yang telah mengirim seorang Rasul yang dirasulkan untuk kebahagiaan seluruh makhluk(I’anatut Tholibin, juzu’ III, halaman 364) – Imam Abu Syamah adalah seorang ulamak besar Mazhab Syafie dan merupakan guru kepada Imam An Nawawi.
Ya Allah jadikanlah kami senantiasa menyintai Nabi Muhammad sallaLLahu ‘alaihi wasallam
Posted by MUHIBBIN at 12:52 AM 0 comments
Sunday, January 3, 2010
Sanad Keistimewaan Ummah
Dewasa ini kita menyaksikan segelintir 'manusia' mempertikaikan mengenai pengajian bersanad.Sememangnya menghidupkan pengajian bersanad pada masa ini adalah suatu perkara yang harus diberi pujian dan galakan, dan bukannya satu perkara yang harus dibanteras dan ditentang. Meskipun ia bukan satu kefardhuan ke atas setiap orang dalam menuntut ilmu atau mengajarkannya, namun ketiadaannya langsung samasekali dalam umat Islam, mampu menjadi tanda pada dekatnya kehancuran umat ini. Di mana kelak tiada lagi tinggal orang-orang berilmu yang penuh keberkatan tersebut, lalu orang mengambil ahli-ahli ilmu yang jahat, tiada keberkatan dan orang-orang jahil sebagai tempat rujuk dan pemimpin agama mereka. Justeru, mereka ini sesat lagi menyesatkan, dan akhirnya di atas merekalah dibangkitkan kiamat.
Jika tujuan sanad pada awalnya untuk memastikan kesahihan riwayat, namun ilmu sanad kemudiannya berkembang sama seperti ilmu-ilmu Islam yang lain, sehingga ia menjadi suatu seni yang tersendiri. Cuma bezanya syarat yang ketat dan penelitian yang tegas terhadap perawi-perawi pada peringkat awal telah dilonggarkan pada peringkat mutakhir, apabila kebanyakan hadith sudah direkod dan dibukukan oleh ulama hadith. Justeru kemudiannya, ramailah ulama yang membenarkan pengijazahan sanad serta meriwayatkannya berdasarkan ijazah tersebut semata-mata, tanpa perlu bertalaqqi penuh.
Periwayatan secara bersanad diteruskan kerana ia adalah satu kemuliaan dan keistimewaan yang dapat dilihat dari sudut-sudut berikut;
1. merupakan pertalian yang bersambung-sambung sampai kepada Rasulullah SAW (وكفى في الاتصال بالحبيب شرفاً) .
2. merupakan iqtida’ (tauladan) terhadap para salafus-soleh dalam tradisi belajar dan mengajar (إنّ التشبه بالكرام فلاح).
3. merupakan satu jati diri dan ikatan ilmu yang hanya dimiliki oleh umat Islam, maka ia adalah
4. merupakan satu usaha berterusan memelihara persambungan sanad hingga ke hari kiamat (إن الأسانيد أنساب الكتب).
5. merupakan satu rahmat dan barakah (عند ذكر الصالحين تنزل الرحمة).
Pengajian secara bersanad terbahagi kepada beberapa kategori, iaitu:
talaqqi secara bersanad bagi qiraat (bacaan) al-Quran.
talaqqi secara bersanad bagi kitab-kitab hadith muktamad, seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Muwatta’ Malik dan sebagainya.
talaqqi secara bersanad bagi himpunan hadith-hadith tertentu, seperti al-Awa’il al-Sunbuliyyah, atau hadith-hadith tertentu, seperti hadith musalsal.
talaqqi secara bersanad bagi kitab-kitab karangan ulama dalam berbagai bidang ilmu, seperti fiqh, usul-fiqh, tauhid, tafsir, sirah, hadith, mustalahul-hadith, tasawuf dan sebagainya.
talaqqi secara bersanad bagi amalan tariqat-tariqat sufiyyah.
Seorang yang mempelajari secara mendalam, akan mendapati dalam ilmu ulumul-hadith dibincangkan tentang ilmu al-tahammul wal-ada’ (pembawaan dan penyampaian riwayat), serta dibincangkan tentang adab-adab muhaddith dan juga penuntut hadith. Perkara ini dapat dirujuk dalam kesemua kitab-kitab yang disusun dalam ulumul-hadith. Ini menunjukkan para ulama sejak dahulu mengambil berat mengenai periwayatan sanad. Hanya pengembaraan-pengembaraan getir ahli hadith dalam mencari sanad sahaja yang berakhir, iaitu dalam kurun ke-6 hijrah. Di mana semua riwayat telah dibukukan dalam al-Jawami’, al-Sihah, al-Sunan, al-Masanid, al-Ma’ajim, al-Ajza’, al-Fawa’id, al-Masyyakhat dan lain-lain. Setelah itu para ulama hadith berusaha memelihara sanad ini hinggakan ada sebahagian mereka yang membukukannya di dalam kitab-kitab khusus. Perhatian terhadap pengumpulan sanad ini kemudian terus bertambah di kalangan ulama hadith sehingga hampir tiada ulama hadith melainkan ia mempunyai kitab sanad yang merekodkan sanad-sanadnya dan juga biografi sebahagian syeikh-syeikhnya. Kitab-kitab ini disebut dengan berbagai istilah seperti barnamij, fihris, thabat dan mu’jam. Riwayat-riwayat mereka juga tidak sekadar pada kitab-kitab hadith, malah pada kitab-kitab tafsir, fiqh, usul, akidah dan lain-lain. (al-Fadani, h. 8-9)
Posted by MUHIBBIN at 5:17 AM 0 comments
Friday, January 1, 2010
SURAH AL KAFIRUN
Surah ini mengandungi 6 ayat. Ianya dikatakan menyamai satu per empat al Quran kerana surah ini mengandungi larangan menyembah selain dari Allah.Mengandungi pokok akidah dan segala perbuatan hati.Ianya berkait rapat dengan Surah al Ikhlas.
Di riwayatkan didalam Tafsir Ibnu Kastir :Didalam hadis Muslim, diterima dari Jabir bin Abdillah bahawa Rasulullah SAW membaca surah al Kafirun bersama Surah Qul Huwallahu Ahad di dalam sembahyang sunat dua rakaat sesudah tawaf. Didalam Sahih Muslim juga , dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW membaca surah ini dan Qul Huwallahu Ahad pada solat dua rakaat Fajar (sebelum subuh).Demikian juga menurut hadis yang dirawikan oleh Imam Ahmad dari Ibnu Umar bahawa Nabi membaca kedua surah ini ketika solat dua rakaat Fajar dan dua rakaat selepas Maghrib lebih dari dua puluh kali.
Sebuah hadis yang dirawikan oleh Imam ahmad dari Farwah bin Naufal al Asyja'iy bahawa dia meminta petunjuk dari nabi apa yang baik dibaca sebelum tidur, maka nabi menasihatkan supaya setelah dia mulai berbaring bacalah Qul Ya Ayyuhal Kafirun kerana dia adalah satu pernyataan diri sendiri bersih dari syirik
Sebab turunnya ayat ini ialah kerana datangnya pemuka -pemuka Quraisy musyrikin iaitu al walid bin al Mughirah, al Ash bin Wai, al Aswad bin al Mutalib dan Umaiyah bin Khalaf yang hendak menemui Rasulullah SAW dengan tujuan untuk 'berdamai'. Antara usul yang diberikan ialah “Ya Muhammad! Mari kita berdamai. Kami bersedia menyembah apa yang engkau sembah dan engkau pun hendak lah menyembah apa yang kami sembah.Dalam urusan negeri kita ini, engkau turut serta bersama kami”. Tidak berapa lama mereka memberikan usul tersebut, maka turunlah ayat ini.
قُلْ
“Katakanlah” -
olehmu wahai utusanku kepada orang -orang yang tidak mahu percaya.
يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ
“Wahai orang -orang kafir” -
menurut Ibnu Jarir panggilan tersebut disuruh disampaikan Allah kepada Nabinya kepada
orang -orang kafir itu yang sejak awal berkeras menentang Rasulullah dan sudah diketahui
dalam ilmu Allah SWT bahawa sampai hari terakhir pun mereka tidak akan mahu menerima
kebenaran
- لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ
“Aku tidak menyembah apa yang kamu sembah”
Menurut tafsiran Ibn Kastir erti ayat kedua ini ialah menafikan perbuatan (Nahyul Fi'el).
Ertinya bahawa perbuatan begitu tidaklah aku pernah dikerjakan.Syaikh Muhammad Abduh
menjelaskan didalam tafsirnya “Dua jumlah kata yang pertama (ayat 2 dan 3) adalah
menjelaskan perbezaan yang disembah dan dua ayat berikutnya (ayat 4 dan 5) ialah
menjelaskan perbezaan cara beribadat.”
- وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ
“Dan tidak pula kamu menyembah apa yang aku sembah”
Menurut tafsiran Ibnu kastir ertinya persembahan kita ini sesekali tidak dapat
diperdamaikan atau digabungkan kerana yang aku sembah hanya Allah dan kalian
menyembah kepada benda iaitu kayu atau batu yang kamu cipta sendiri dan kamu membesar-
besarkan akannya.
- وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ
“Dan aku bukanlah pula penyembah sebagaimana kamu menyembah”
- وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ
“Dan kamu bukanlah pula penyembah sebagaimana aku menyembah”
Maka selain dari yang kita sembah itu berlainan, kamu menyembah berhala dan aku
menyembah Allah, maka cara kita menyembah pun juga berlainan.A ku menyembah Allah
dengan melakukan solat menurut syarat rukunnya dan kamu pula menyembah berhala dengan
cara yang cukup berbeza dengan aku.
- لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ
“ Untuk kamu agama kamu dan untuk aku agamaku”
Soal akidah diantara Tauhid mengesakan Allah sesekali tidaklah dapat dikompromikan atau
dicampur adukkan dengan syirik.Tauhid kalau telah didamaikan dengan syirik ertinya ialah
kemenangan syirik
Al Qurthubi meringkaskan tafsir keseluruhan ayat ini begini:
Katakanlah olehmu wahai utusanku kepada orang -orang kafir itu. Bahawa aku tidaklah mahu di ajak menyembah berhala- berhala yang kamu sembah dan puja itu.Kamu pun rupanya tidaklah mahu menyembah kepada Allah sahaja sebagaimana yang aku lakukan dan serukan. Malahan kamu persekutukan berhala kamu itu dengan Allah. Maka kalau kamu katakan bahawa kamu menyembah Allah juga, maka perkataan kamu itu bohong kerana kamu adalah musyrik, sedangkan Allah itu tidak dapat di persekutukan dengan yang lain.Ibadat kita juga berlainan.Aku tidak menyembah kepada tuhanku sebagaimana kamu menyembah berhala .Oleh itu agama kita tidaklah dapat diperdamaikan atau dipersatukan. “Bagi kamu agama kamu,bagiku adalah agamaku pula”-Tinggilah dinding yang membataskan kita dan dalamlah jurang di antara kita.”
Posted by MUHIBBIN at 5:45 PM 0 comments
MEWARNAKAN RAMBUT


Posted by MUHIBBIN at 1:24 AM 0 comments
Saturday, December 26, 2009
HUKUM AZAN 2 KALI SOLAT JUMAAT
Pada mulanya azan Hari Jumaat itu ketika Imam telah duduk di mimbar. Hal ini terjadi pada ketika zaman Nabi, zaman Abu Bakar dan Umar radiyaLlahu 'anhu. Maka ketika tiba zaman Khalifah Uthman bin Affan radiyaLlahu 'anhu iaitu pada ketika manusia sudah ramai, beliau memerintahkan agar diadakan azan ketiga di atas Zaura'. Maka tetaplah situasi secara demikian(Hadith riwayat Bukhari - Sahih Bukhari Juz 1 halaman 117).
Berkata RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam : Pegang teguhlah sunnah aku dan sunnah khalifah-khalifah ar Rasyidin sesudah aku(Hadith riwayat Abu Daud - Sunan Abi Daud Juz 4 Halaman 201).Imam Syafie dalam kitab Al Umm menerangkan :
Dan yang mana di antara yang kedua itu yang terjadi pada masa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam lebih saya sukai(Umm Juz I, halaman 195).Imam syafie adalah mujtahid mutlaq terkenal dengan Ahlu Hadith tentu sangat menyukai ibadat yang terjadi pada masa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam tetapi beliau menyukai juga apa yang diperintahkan oleh Saidina Uthman sebagai Khalifah ar Rasyidin, walaupun yang terjadi pada masa RasuluLlah lebih disukai.Lihat bagaimana Imam Syafie mengggunakan af'al tafdhil. Lebih mengutamakan, melebihkan. Tiada pun sebut larangan.WaLlahua'lam
Posted by MUHIBBIN at 12:57 AM 0 comments
Thursday, December 24, 2009
SERBAN.



Serban yang dipanggil “Imamah” adalah pakaian kebanyakan ulama’ sama ada di Malaysia atau pun diluar Negara. Di dalam Ittihaf al Muttaqin karangan al Hafiz al Zabidi menaskan imamah dengan baris bawah bagi huruf Ain ialah sesuatu yang menutupi kepala dari kain kapas atau bulu atau seumpamanya.Ia dinamakan demikian kerana meliputi kepala keseluruhannya dan lafaz jama’nya ialah ‘Amaim’.
Kebanyakkan umat Islam yang memakai serban adalah di atas niat yang sama iaitu mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW tetapi kita dapati mereka menggunakan bentuk dan cara lilitan yang berbeza.Terdapat juga perbezaan dari ‘ekor’ serban tersebut.ada yang melilit keseluruhan tanpa mengeluarkan ekornya, ada mengeluarkan ekor dibahagian atas dan dibawah serban dan ada yang mengeluarkan satu ekor sahaja.Selain dari itu perbezaan warna serban juga, dapat kita perhatikan.Ada yang memakai serban yang berwarna putih, hijau dan hitam.
Sebagaimana kita maklum bahawa serban adalah salah satu pakaian Rasullullah SAW bersandarkan kepada hadis ke 140 daripada Sohih al Bukhari menyatakan: Dari Jaafar ibn Amr r.a daripada ayahandanya (Umaiyah) katanya : “Saya melihat Nabi SAW beliau menyapu serban dan kedua khufnya (ketika berwuduk) .” Serban juga adalah antara pakaian yang dipakai oleh malaikat. Ekor serban adalah salah satu bentuk serban yang dipakai oleh Malaikat sebagaimana yang dikeluarkan oleh al Tabrani didalam al Kabir dari hadith Ibni Umar dan al Baihaqi dari hadith Ubadah: “Hendaklah kalian memakai serban kerana ia adalah tanda malaikat, dan lepaskanlah ekornya di belakang kalian”
Serban juga boleh dipakai menggunakan warna selain putih sebagaimana diriwayatkan juga didalam Sohih Muslim daripada Jabir ibn Abdullah bahawa Rasulullah SAW memasuki Makkah dengan memakai serban hitam tanpa berihram.
Diriwayatkan daripada Wathilah ibn al Asqa’ ibn Kaab ibn Amir ibn Laith ibn Bakar ibn Abdi Mannah al Laithi al Kinani yang digelar Abu al Asqa’ dan dikatakan gelarannya Abu Qursofah, dikatakan Abu Muhammad, dikatakan juga Abu Syaddad.Tatkala Rasulullah SAW wafat, beliau keluar menuju ke Syam dan menyertai peperangan di Dimasyq, Hims dan tinggal di negeri itu. Kemudian beliau berpindah ke Baitul Maqdis dan wafat. Telah meriwayatkan sekumpulan manusia daripadanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah dan malaikat mengucapkan selawat ke atas orang –orang yan memakai serban” . ;
Posted by MUHIBBIN at 7:08 PM 0 comments
Wednesday, November 4, 2009
SIAPAKAH ALBARZANJI
Kita sering membaca kitab maulid yang dikarang oleh ja'far al Barzanji.Marilah kita mengenali ulamak Sayyid Ja'far al Barzanji INI
SALASILAH KETURUNANNYA
Nama beliau ialah Ja'afar ibn Hasan ibn Abdul Karim ibn Sayyid Muhammad ibn al Qutb al Arif Sayyid Rasul ibn Abdus Sayyid ibn Abdur Rasul ibn Qalandar ibn Abdus Sayyid ibn Isa ibn al Hussain ibn Bayazid ibn al Mursyid Abdul Karim ibn al Qutb al A'zam al Ghauth al Fard al Jami' Isa ibn Ali ibn Yusuf ibn Mansur ibn Abdul Aziz ibn AbduLlah ibn Ismail al Muhaddith ibn al Imam Musa al Kazim ibn al Imam Ja'afar al Sodiq ibn al Imam Muhammad al Baqir ibn al Imam Ali Zainal Abidin al Sajjad ibn al Imam al Syahid al Husain ibn al Imam Amirul Mukminin Ali ibn Abu Talib.
Tarikh Kelahiran
Pada hari Khamis awal bulan Zulhijjah 1126 Hijrah di Madinah al Munawwarah
Perkataan 'Barzanji' yang dinisbahkan kepada namanya diambil dari nama kampung asal keturunannya.
PENDIDIKANNYA
Beliau dibesarkan di bawah didikan dan asuhan ayahandanya. Beliau mempelajari al Quran daripada Syeikh Ismail al Yamani radiyaLlahu 'anhu. Kemudian mempelajari ilmu tajwid daripada syeikh Yusuf al Sa'idi radiyaLLahu 'anhu dan Syeikh Syams al din al Misri radiyaLlahu 'anhu.
Setelah itu, beliau mendalami ilmunya dengan ulama' yang berada di Makkah dan menetap di sana selama 5 tahun.Oleh kerana kepakarannya yang tinggi di dalam persada ilmu, beliau telah diijazahkan dengan sanad-sanad ilmu oleh masyaikh pada zamannya. Di antara guru-gurunya yang pernah menganugerahkan sanad kepadanya ialah :
1. Syeikh Muhammad Tayyib al Fasi
2. Sayyid Ahmad al Tobari
3. Syeikh Muhammad ibn Hasan al 'Ujaimi
4. Sayyid Mustafa al Bakari
5. Syeikh AbduLlah al Syubrawi al Misri
Beliau juga mempunyai kredibiliti yang tinggi dalam masyarakat sehingga dilantik sebagai Mufti Mazhab Syafie radiyaLLahu 'anhu di al Madinah al Munawwarah. Beliau memegang jawatan tersebut sehingga kewafatannya dan dianugerahkan dengan kebesaran yang tinggi sehingga kata-katanya diperkenankan dan dilaksanakan oleh raja-raja dan pemerintah-pemerintah di Haramain (Makkah dan Madinah), Mesir, Syam, Rom dan sebagainya.
Kata-katanya juga diterimapakai oleh Jemaah Menteri Kerajaan Uthmaniyyah dan pembesar-pembesar negara tersebut. Suaranya tersebar seperti burung yang berterbangan di seluruh pelusuk dunia hingga hampir tiada sesiapa yang tidak mengenalinya. Karyanya tersebar luas dan kelebihan kitabnya tiada tolok bandingnya pada zamannya.
AKHLAKNYA
Beliau mempunyai akhlak yang mulia, bersifat tawadhu', hati yang bersih, cepat memaafkan orang lain dan tidak mengabaikan hak orang lain. Beliau merupakan keturunan dari keluarga RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam dan di kalangan ketua yang menjadi tempat rujukan keturunan Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam pada zamannya. Beliau juga merupakan seorang yang zuhud, wara', berpegang dengan al Quran dan Sunnah, banyak berzikir, sentiasa bertafakkur, mengorbankan harta dan jiwa untuk melakukan kebaikan serta banyak bersedekah sehingga dikenali sebagai seorang dermawan.
SEMOGA ALLAH MERAHMATINYA.....AMIN
Posted by MUHIBBIN at 8:20 PM 0 comments
Sunday, August 9, 2009
TAHIYATUL MASJID

Bersempena kita akan menyambut kehadiran bulan yang penuh barakah, disini diberikan maklumat tentang solat tahiyatul masjid untuk mereka yang akan bersolat didalam masjid.
Bertanya anda tentang solat sunat tahiyatul masjid, maka dijawab: Adalah solat itu solat sunat 2 rakaat seperti solat sunat yang lainnya, hanya sanya diniatkan sunat tahiyatul masjid. Dilakukan untuk menghormati masjid, bila masuk sahaja ke dalam masjid sebelum duduk.
Bagaimana jika masuk itu terus duduk, masih bolehkan melakukannya?
Jika duduk itu dengan sengaja, maka tiada lagi disunatkan solat itu. Jika duduk itu dengan terlupa ada 2 keadaan. Terlupa yang sekejap kemudian ingat kembali, maka dibolehkan bangun dan terus solat. Jika terlupa yang panjang waktunya, kemudian teringat, tiadalah lagi dibolehkan bangun bersolat. Adapun bagi orang yang tidak dapat mengerjakan solat sunat tahiyatul masjid disebabkan dia telah duduk atau dia sekadar masuk sebentar untuk sesuatu keperluan, maka dianjurkan membaca: (Subhanallah Walhamdulillah Walailahailallah Wallahu Akbar) sebanyak 4 kali.
Jika masuk ke dalam masjid dan didapati azan sudah berkumandang, bagaimana?
Bila azan sudah berkumandang, maka berdiri ia menjawab azan tersebut, kemudian melakukan solat sunat rawatib. Solat sunat rawatib itu dikira sudah memadai sebagai memenuhi tuntutan solat sunat tahiyatul masjid.
Jika masuk ke dalam masjid dan didapati jemaah solat sudah didirikan, bagaimana?
Tiada perlu lagi solat sunat tahiyatul masjid atau solat sunat yang lainnya. Jika didirikan, jadi makruh. Terus sahaja mengikut jemaah tersebut untuk solat fardhu. Ia sudah dikira memadai memenuhi tuntutan solat sunat tahiyatul masjid.
Apakah bacaannya yang mengiringi surah Al-Fatihah?
Dibaca apa-apa surah yang ringan dan kebiasaan yang dilakukan adalah pada rakaat pertama, surah Al-Kafirun, dan rakaat kedua, surah Al-Ikhlas.
Bolehkah dilakukan solat sunat tahiyatul masjid ini di tempat lain daripada masjid?
Tiadalah dibolehkan yang demikian seperti surau atau musolla (bilik solat). Hanya sanya yang dituntut untuk solat tersebut adalah pada bangunan yang dibina khusus sebagai masjid.
Posted by MUHIBBIN at 9:40 PM 0 comments
Wednesday, July 29, 2009
NISFU SYA'BAN
Nisfu dlm bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.
Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Iman Al-Baihaqi r.a:
Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dah sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dlm sujudnya, "Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri."
Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. "Malam ini adalan malam Nisfu syaaban. Sesunguhnya Allah Azzawajjal telah dtg kpd hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kpd mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap org2 yg dengki."
Hari nisfu sya'aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya'aban bermula pada 14 hb sya'aban sebaik sahaja masuk maghrib)
Berikut adalah antara amal ibadah di hari Nisfu Sya'aban:
1.
i) Yasin pertama : mohon dipanjangkan umur untuk beribadat kepada Allah
ii) Yasin kedua : mohon rezeki yang halal untuk beribadat kepada Allah
iii) Yasin ketiga : mohon ditetapkan iman dan Islam & mati di dalam iman
2. Berpuasa pada siangnya (mulai pagi esoknya-15 Syaaban)
Posted by MUHIBBIN at 8:32 PM 0 comments
Tuesday, June 9, 2009
ULAMAK MENEGUR.....
Qadhi bin Iyad telah melihat kedatangan khalifah lalu menutup lampu rumahnya.Khalifah telah masuk kedalam rumah Qadhi bin Iyad dan tiba -tiba tangannya dipegang oleh ulamak tersebut lalu berkata "Alangkah bagusnya jika tangan yang lembut ini tidak dibakar oleh api neraka". Mendengar kata ulamak tersebut Harun Ar Rasyid terus menangis. Pengawalnya yang melihat perkara tersebut terus memarahi Qadhi bin Iyad kerana telah menyebabkan Khalifah menangis teresak- esak. Qadhi bin Iyad menyambung lagi " Berhati -hatilah kamu wahai Khalifah dengan pegawai kamu ini, yang memberi kesenangan kepada kamu didunia tetapi akan menyusahkan kamu di Akhirat".
Posted by MUHIBBIN at 9:16 PM 0 comments
Saturday, May 9, 2009
IMAM GHAZALI BERTANYA..
Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman, dan kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "MATI". Sebab itu sudah janji Allah SWT bahwa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran 185)
Posted by MUHIBBIN at 4:45 PM 0 comments
Monday, May 4, 2009
UMAT MUHAMMAD
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan demikianlah kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan ”. .
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesungguhnya Allah meredhai umat Muhammad mendapat kamudahannya”
HIKAYAT
Ketika Rasulullah SAW sakit, Baginda didatangi oleh seorang lelaki dimuka pintunya. Saidatina Fatimah yang menjaga beliau cuba menghalang lelaki itu masuk, tetapi ditegah oleh Rasulullah. Baginda menyatakan kepada Saidatina Fatimah bahawa lelaki itu adalah Malaikat maut yang menyerupai seorang lelaki . Rasulullah SAW bertanya kepada malaikat maut “ Kamu datang untuk menziarahiku atau untuk mencabut nyawaku?”. “ Keduanya sekali wahai Rasulullah. Itu pun jika kamu mengizinkan. Jika kamu tidak mengizinkan, aku akan balik sekarang.”Jawab Malaikat Maut.
Tiba –tiba turun malaikat Jibril kesisi Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bertanya kepada Malaikat Jibril. “Bagaimana kedudukkan aku disisi Allah?”. Malaikat Jibril menjawab “Sesungguhnya malaikat tengah berbaris di pintu langit untuk menjemput kamu, begitu juga mereka sedang berbaris di syurga.”. “Bagaimana keadaan umatku ?” Tanya Rasululah lagi.
Malaikat Jibril menjawab “Sesungguhnya Allah telah menyatakan bahawa tidak akan masuk para nabi dan umat –umat mereka kedalam syurga sebelum dimasuki oleh kamu dan umat –umat kamu dahulu” .Setelah mendengar keterangan Jibril itu barulah Rasulullah berpuas hati.
Posted by MUHIBBIN at 7:42 AM 0 comments
Friday, May 1, 2009
TAHLIL ARWAH
Posted by MUHIBBIN at 12:40 AM 0 comments
Saturday, April 18, 2009
WAHDAH
Posted by MUHIBBIN at 2:00 AM 0 comments






