CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, November 23, 2010

sukan dan judi

Oleh: Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman
Permainan dan peraduan moden Ada ulama cuba menganggap permainan atau pertandingan beserta hadiah sebagai ‘Wa’d Bi Tabarru’ atau janji untuk bersedekah, namun majoriti ulama tidak bersetuju dengan pandangan ini dan mengklasifikasinya sebagai aqad mu’awadat atau kontrak komersial untuk meraih pemilikan dan untung. (Al-Furusiah, Ibn Qayyim, hlm76)
Dengan berubahnya klasifikasi ini, semua hukum akan berubah bentuknya. Saya akan menyentuh dengan ringkas beberapa jenis cara pemainan yang boleh dijumpai dalam masyarakat kita. Ia seperti berikut:


1. Dua orang bermain tenis, namun hanya satu pihak meletakkan hadiah sebanyak RM200. Siapa yang menang akan memiliki hadiah itu.Hukum: Ulama berbeza pandangan dalam bab ini kerana hanya satu pihak mengeluarkan hadiah.

Fatwa ulama seperti berikut:

a. Harus: Demikian pendapat majoriti ulama dari mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.

b. Haram: Ia pendapat mazhab Maliki kerana wang RM200 sudah keluar daripada miliknya. Jika dia menang, wang itu akan kembali kepadanya atas nama ‘qimar’.

Pendapat lebih kuat (rajih) adalah pendapat pertama yang mengharuskannya kerana wang RM200 itu miliknya dan pihak kedua tidak terbabit dalam memberi wang, dengan sebab itu pihak kedua tidak terdedah kepada risiko. Dengan demikian, wang RM200 tadi dikira hadiah biasa dan bukan judi.

2. Dua orang bermain tenis, kedua-duanya mengeluarkan wang sebagai hadiah. Ulama terbahagi kepada tiga kumpulan dalam hal ini. Namun majoriti ulama, termasuk Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali serta Majlis Fiqh Dunia memfatwakannya HARAM.

Malah, Ibn Rusyd Al-Hafid menyebut ada ijma’ mengenai pengharamannya. (Tabyin Al-Haqaiq, Az-Zaila’ie, 6/228; Al-Kafi, Ibn Abd Barr, 1/489; Al-Umm, Al-Syafie, 3/230; Al-Insaf, Al-Mardawi, 6/93; Al-Jami’, Ibn Rusyd, hlm 336)

3. Dua orang bermain tenis, mereka bersetuju siapa yang kalah perlu membayar harga sewaan gelanggang tenis.

Hukum: Ia judi, walaupun ada unsur usaha daripada kedua-dua pihak dan bukan permainan nasib semata-mata. Unsur judinya datang daripada sudut hadiah. Seolah-olah kedua-dua pihak meletakkan sejumlah wang untuk membayar sewa gelanggang, hanya yang kalah akan terkena. Ia tetap judi, walaupun kedua-dua pihak meredainya. Tiada reda dalam perihal haram.

Namun jika hanya seorang menjanjikan hadiah, seorang lagi tidak, hukumnya berubah menjadi harus atau halal. Ia pendapat mazhab Al-Hanafi, Syafie dan Hanbali (Tabyin Al-Haqaiq, Az-Zaila’ie, 6/227; Qawanin Al-Ahkam, Ibn Juzai, hlm 177; Hasyiah Al-Qalyubi, 4/266; Al-Insaf, Al-Mardawi, 6/93)

4. Dua orang atau lebih bertanding futsal, kumpulan yang kalah disyaratkan belanja makan kumpulan yang menang.

Hukum: Ia juga perjudian dan sama bentuknya dengan bentuk nombor tiga di atas.

5. Beberapa kumpulan ingin menganjur pertandingan bola sepak, namun tiada sumbangan hadiah dan tiada tajaan diperoleh. Natijahnya mereka menggunakan wang terkumpul daripada yuran penyertaan sebagai hadiah atau untuk membeli hadiah.

Hukum: Ia judi, walaupun bola sepak bukan permainan yang bergantung kepada nasib semata-mata. Unsur judi datang daripada bahagian kedua iaitu hadiah wang terkumpul daripada semua peserta. Ini menjadikan semua kumpulan terdedah kepada untung dan rugi.

Tatkala itu Majlis Fiqh Dunia menganggapnya perjudian. Demikian juga jika ditinjau daripada perspektif empat mazhab. Namun jika hadiah datang daripada sumbangan mana-mana pihak yang tidak menyertai pertandingan itu, permainan tadi menjadi halal secara sepakat ulama. Ada yang bertanya, bagaimana jika semua kumpulan diberi hadiah sagu hati? Jawapannya, ia tetap judi jika pemenang utama mendapat hadiah yang berbeza nilainya. Namun jika semua hadiah sama nilainya tanpa kira yang menang dan tewas, ia menjadi harus dan bukan lagi judi. Dalam hal ini, pemenang hanya mendapat keseronokan dan kepuasan perasaan.

Ringkasnya, ulama sepakat setiap permainan yang memerlukan penyertaan yuran untuk bermain dan hadiahnya diambil daripada wang itu, semuanya judi tanpa mengira sama ada permainan itu bersifat ilmiah, minda dan lain-lain.

6. Membeli akhbar untuk menyertai pertandingan teka bola dan sebagainya.

Hukum: Majlis Fatwa ulama Mekah dan Madinah memfatwakannya sebagai harus. Demikian juga pandangan terkuat menurut beberapa ulama kontemporari seperti Prof Dr Uthman Syabir. (Ahkam Al-Musabaqat Al-Mu’asiroh, Majma Fiqh Islami, Ke 14, tahun 2003)

Keharusan ini kerana si pembeli tidak rugi apa-apa kerana ia beroleh manfaat serta khabar, kecuali jika dibelinya surat khabar sehingga 10 naskhah hanya kerana ingin menyertainya banyak-banyak. Tatkala itu hukum bertukar menjadi haram dan judi.Kesimpulannya, hadiah pertandingan yang dibenarkan dalam Islam hanya jika:1. Hadiah didermakan pihak ketiga yang tidak memasuki pertandingan manakala wang yuran peserta hanya untuk kegunaan pentadbiran pertandingan.2. Hadiah diambil daripada sebahagian yuran peserta saja, manakala yang lain digunakan untuk pentadbiran pertandingan.


Semoga artikel ringkas ini dapat menyedarkan umat Islam di sekeliling akan pembabitan mereka dalam perjudian tanpa disangka