CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, November 4, 2009

SIAPAKAH ALBARZANJI

Kita sering membaca kitab maulid yang dikarang oleh ja'far al Barzanji.Marilah kita mengenali ulamak Sayyid Ja'far al Barzanji INI


SALASILAH KETURUNANNYA

Nama beliau ialah Ja'afar ibn Hasan ibn Abdul Karim ibn Sayyid Muhammad ibn al Qutb al Arif Sayyid Rasul ibn Abdus Sayyid ibn Abdur Rasul ibn Qalandar ibn Abdus Sayyid ibn Isa ibn al Hussain ibn Bayazid ibn al Mursyid Abdul Karim ibn al Qutb al A'zam al Ghauth al Fard al Jami' Isa ibn Ali ibn Yusuf ibn Mansur ibn Abdul Aziz ibn AbduLlah ibn Ismail al Muhaddith ibn al Imam Musa al Kazim ibn al Imam Ja'afar al Sodiq ibn al Imam Muhammad al Baqir ibn al Imam Ali Zainal Abidin al Sajjad ibn al Imam al Syahid al Husain ibn al Imam Amirul Mukminin Ali ibn Abu Talib.

Tarikh Kelahiran

Pada hari Khamis awal bulan Zulhijjah 1126 Hijrah di Madinah al Munawwarah

Perkataan 'Barzanji' yang dinisbahkan kepada namanya diambil dari nama kampung asal keturunannya.

PENDIDIKANNYA

Beliau dibesarkan di bawah didikan dan asuhan ayahandanya. Beliau mempelajari al Quran daripada Syeikh Ismail al Yamani radiyaLlahu 'anhu. Kemudian mempelajari ilmu tajwid daripada syeikh Yusuf al Sa'idi radiyaLLahu 'anhu dan Syeikh Syams al din al Misri radiyaLlahu 'anhu.

Setelah itu, beliau mendalami ilmunya dengan ulama' yang berada di Makkah dan menetap di sana selama 5 tahun.Oleh kerana kepakarannya yang tinggi di dalam persada ilmu, beliau telah diijazahkan dengan sanad-sanad ilmu oleh masyaikh pada zamannya. Di antara guru-gurunya yang pernah menganugerahkan sanad kepadanya ialah :

1. Syeikh Muhammad Tayyib al Fasi

2. Sayyid Ahmad al Tobari

3. Syeikh Muhammad ibn Hasan al 'Ujaimi

4. Sayyid Mustafa al Bakari

5. Syeikh AbduLlah al Syubrawi al Misri

Beliau juga mempunyai kredibiliti yang tinggi dalam masyarakat sehingga dilantik sebagai Mufti Mazhab Syafie radiyaLLahu 'anhu di al Madinah al Munawwarah. Beliau memegang jawatan tersebut sehingga kewafatannya dan dianugerahkan dengan kebesaran yang tinggi sehingga kata-katanya diperkenankan dan dilaksanakan oleh raja-raja dan pemerintah-pemerintah di Haramain (Makkah dan Madinah), Mesir, Syam, Rom dan sebagainya.

Kata-katanya juga diterimapakai oleh Jemaah Menteri Kerajaan Uthmaniyyah dan pembesar-pembesar negara tersebut. Suaranya tersebar seperti burung yang berterbangan di seluruh pelusuk dunia hingga hampir tiada sesiapa yang tidak mengenalinya. Karyanya tersebar luas dan kelebihan kitabnya tiada tolok bandingnya pada zamannya.

AKHLAKNYA

Beliau mempunyai akhlak yang mulia, bersifat tawadhu', hati yang bersih, cepat memaafkan orang lain dan tidak mengabaikan hak orang lain. Beliau merupakan keturunan dari keluarga RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam dan di kalangan ketua yang menjadi tempat rujukan keturunan Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam pada zamannya. Beliau juga merupakan seorang yang zuhud, wara', berpegang dengan al Quran dan Sunnah, banyak berzikir, sentiasa bertafakkur, mengorbankan harta dan jiwa untuk melakukan kebaikan serta banyak bersedekah sehingga dikenali sebagai seorang dermawan.

SEMOGA ALLAH MERAHMATINYA.....AMIN